Dua Jiwa Dalam Satu Saf : Indahnya Ramadan 2014
Ramadan kali ini buat Ryn teringat satu kenangan yang cukup manis. 12 tahun lalu, sebelum kelahiran anak nombor dua. Waktu itu, Ryn sedang sarat mengandung. Perut makin membesar, langkah makin...
Ramadan kali ini buat Ryn teringat satu kenangan yang cukup manis. 12 tahun lalu, sebelum kelahiran anak nombor dua. Waktu itu, Ryn sedang sarat mengandung. Perut makin membesar, langkah makin perlahan…tapi hati? Masha Allah, makin dekat dengan denganNya. Setiap hari Ryn diberikan kekuatan untuk berpuasa penuh. Dan yang paling Ryn tak lupa, setiap malam Ryn gagahkan diri bertarawih di masjid. Dari rumah ke masjid, walau kadang rasa penat mencengkam, ada satu rasa yang tak boleh digambarkan ianya amat menenangkan.
Bila berdiri dalam saf, rasa seperti Allah sedang peluk hati yang letih ini. Setiap rakaat terasa panjang, tapi penuh makna. Setiap doa, Ryn bisikkan untuk anak dalam kandungan, “Ya Allah, jadikan anak ini anak soleh penyejuk mata.”
Orang selalu tanya, “Macam mana Ryn boleh kuat? Puasa penuh, tarawih lagi dalam keadaan sarat?” Rahsianya bukan sebab Ryn kuat. Tapi sebab Ryn jaga tiga perkara. Pertama, niat. Ryn niatkan setiap langkah ke masjid sebagai ibadah untuk dua jiwa. Bila niat jelas, badan yang lemah pun Allah bagi tenaga. Kedua, jaga makan sahur & berbuka dengan sederhana tapi berkhasiat. Banyakkan air, kurma, protein dan kurangkan manis berlebihan. Bila badan cukup zat, tenaga lebih stabil. Ketiga, rehat tanpa rasa bersalah. Siang hari Ryn kurangkan aktiviti berat. Tidur sekejap lepas Zohor. Jangan paksa diri jadi ‘superwoman’. Mengandung itu sendiri sudah satu jihad.
Ramadan mengajar Ryn satu perkara iaitu kekuatan sebenar bukan pada fizikal, tapi pada pergantungan kita kepada Allah. Bila hati penuh tawakal, badan ikut sama dikuatkan. Hari ini, bila tengok anak nombor dua itu sudah membesar depan mata, Ryn selalu senyum sendiri. Dia pernah sama-sama Ryn berdiri dalam saf tarawih. Pernah sama-sama rasa lapar dan dahaga Ramadan dalam rahim ibunya. Muhammad Izhud Ar Rifqi nama diberi. Subhanaallah! Indahnya Ramadan bukan sekadar bulan ibadah. Ia bulan membina jiwa, bahkan sejak dalam kandungan.

Semoga Jumaat ini, Allah beri kita kekuatan seperti 12 tahun lalu itu untuk terus kuat dalam sabar, kuat dalam ibadah dan kuat dalam kasih sayang. Nak tahu lagi kisah Ramadan yang tak pernah Ryn lupa? In shaa Allah, ada sambungannya. Ianya pasti lebih menerujakan 🙂
No Comment! Be the first one.