Eksklusif: Dari Salam Ke Cinta Palsu, Siapa Dalang Disebalik Nama Hafiz Hamidun?
JOHOR BAHRU, 26 FEB 2026: Nama Hafiz Hamidun kembali hangat diperkatakan. Bukan kerana gosip cinta, bukan juga kontroversi industri tetapi kerana identitinya didakwa dipergunakan dalam sindiket love...
JOHOR BAHRU, 26 FEB 2026: Nama Hafiz Hamidun kembali hangat diperkatakan. Bukan kerana gosip cinta, bukan juga kontroversi industri tetapi kerana identitinya didakwa dipergunakan dalam sindiket love scam antarabangsa yang dipercayai masih aktif sehingga hari ini. Lebih mengejutkan, perkara ini bukan baru berlaku.
Sewaktu dihubungi pagi tadi, Hafiz memaklumkan isu tersebut sudah berlarutan sekitar dua hingga tiga tahun dan sehingga kini masih belum benar-benar reda.
“Bila saya teliti semula, pattern penipuan itu seakan-akan datang dari Nigeria,” dedahnya.
Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai dalang sebenar, beliau mendapati kebanyakan nombor telefon yang digunakan bermula dengan kod +234, iaitu kod negara Nigeria.
Ribuan Akaun Palsu, Satu Wajah Sama

Apa yang lebih mengejutkan, bukan satu atau dua akaun palsu dikesan tetapi didakwa wujud ribuan akaun media sosial menggunakan gambar Hafiz. Nama yang digunakan berbeza-beza seperti Abdul Salam, Ahmad Rayyan dan pelbagai lagi identiti lain. Namun wajahnya tetap sama. Sasaran mereka dipercayai wanita dari Indonesia.
“Mungkin wajah saya laris di sana,” katanya berseloroh, namun jelas serius ketika menceritakan kes mangsa.
Menariknya, Hafiz turut menyedari bahawa bukan dirinya sahaja yang wajahnya digunakan untuk pasaran Indonesia. Menurutnya, beliau pernah terlihat gambar beberapa artis Malaysia lain turut dipakai oleh akaun palsu, antaranya termasuk Fizo Omar.
Bagaimanapun, Hafiz mendakwa sambutan terhadap akaun yang menggunakan gambarnya dilihat lebih tinggi berbanding artis lain. Perkara ini sekali gus menimbulkan persoalan adakah sindiket ini sengaja memilih selebriti lelaki berwajah ‘romantik’ dan mempunyai pengaruh besar di Indonesia sebagai umpan?
Akaun Rasmi Pun Pernah Dibekukan

Hafiz tidak hanya berdiam diri. Beliau sudah berkali-kali membuat laporan terhadap akaun palsu tersebut, khususnya di Instagram. Malah, akibat terlalu banyak laporan dibuat dalam tempoh tertentu, akaun Instagram rasmi miliknya sendiri pernah dibekukan sementara.
“Semua laporan itu saya terus hubungi META,” jelasnya.
Situasi itu jelas menambah tekanan, apabila mangsa dan pemilik identiti sebenar sama-sama terperangkap dalam permainan sindiket tidak bertanggungjawab.
Cinta Palsu, Video ‘Edit’, Duit Mengalir
Modus operandi sindiket ini dipercayai menggunakan taktik klasik love scam mendekati mangsa, memujuk bercinta secara dalam talian sebelum mula meminta wang, hadiah serta kiriman barangan.
Ada mangsa yang menghubunginya secara langsung dan mendakwa telah menyerahkan wang antara RM30,000 hingga RM40,000.
Lebih membimbangkan, ada mangsa benar-benar yakin mereka pernah berkomunikasi secara peribadi dengannya.
Bagaimana mereka boleh begitu yakin?
Rupanya, video yang dihantar hanyalah potongan daripada video asal di media sosial Hafiz yang diedit semula, terutama bahagian beliau memberi salam atau menyebut “hai”. Klip itu digunakan semula seolah-olah rakaman khas buat mangsa. Ayat mesej pula, menurut Hafiz, kelihatan seperti terjemahan langsung dan diulang kepada ramai mangsa lain.
“Saya baca semua DM mereka. Ramai yang betul-betul percaya itu saya,” katanya.
Kenapa Masih Belum Buat Laporan Polis?

Walaupun namanya dipergunakan dan ada mangsa mengalami kerugian besar, Hafiz mengakui beliau masih belum membuat laporan polis setakat ini.
“Saya rasa secara peribadi saya tidak kehilangan apa-apa.”
Namun persoalannya berapa ramai lagi yang mungkin sedang diperdaya menggunakan wajahnya atau wajah artis lain ketika ini? Isu ini sekali lagi membuktikan betapa liciknya sindiket love scam yang sanggup mengeksploitasi populariti selebriti demi keuntungan.
Dalam Kontroversi, Rezeki Hafiz Tetap Mencurah
Di sebalik isu panas ini, karier Hafiz sebenarnya sedang berada di fasa yang cukup produktif. Beliau meluahkan rasa syukur apabila lagu ciptaannya nyanyian Shiha Zikir berjudul Minta Ampun menerima sambutan luar biasa.
Walaupun dilancarkan menjelang Ramadan, Hafiz menjelaskan lagu tersebut bukan lagu raya sepenuhnya cuma kebetulan waktunya hampir musim perayaan. Selepas Aidilfitri nanti, beliau bakal tampil dengan karya baharu bersama Rabbani dan Amira Othman.
Hafiz turut berkongsi penglibatan dalam album tradisional terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang menurutnya disiapkan dalam tempoh hanya dua minggu. Lagu ciptaannya berjudul Rencong pula antara yang terawal dipilih untuk dipromosikan.
Bermula sebagai penyanyi nasyid, Hafiz kini lebih selesa berada di belakang tabir sebagai produser dan komposer, namun masih terbuka menerima undangan persembahan. Di sebalik wajahnya yang didakwa menjadi ‘umpan cinta’, Hafiz memilih untuk terus fokus membina legasi seni. Malah, beliau juga dijangka bakal menunaikan ibadah haji tahun ini, walaupun tarikh muktamad masih belum diumumkan.
No Comment! Be the first one.