Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah.

Dia dituduh memiliki untuk tujuan jualan 11 produk yang bukan keluaran berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Peraturan 7(1)(a) Dadah dan Kosmetik 1984.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sumber mengatakan, Nur Sajat tidak dapat hadir semasa pengurusan kes berkenaan pagi tadi.

Nur Sajat sebelum ini pernah dihadapkan di mahkamah sama pada 14 Disember 2018 atas pertuduhan mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Malah Sajat pernah didakwa kerana memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan KKM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 12 Mei 2019.

Ia susulan tindakan KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda sebelum merampas 19 produk kecantikan tidak berdaftar bernilai hampir RM10,000.