Solat Jumaat pada hari ini dibatalkan dan digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing selepas mengambil kira situasi semasa akan COVID-19.

Majlis Agama Islam dan Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, perkara terbabit dimuktamadkan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai semalam.

Selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai COVID-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, maka MAIPs bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dengan ini memutuskan supaya Solat Jumaat di seluruh negeri Perlis pada tarikh 13 Mac 2020 digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Dalam pada masa yang sama, MAIPs turut mengingatkan agar pihak pengurusan masjid di dalam negeri ini memainkan peranannya dalam memastikan wabak terbabit tidak menular dalam kalangan ahli jemaah lain dan anak kariah.

Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan agar ahli jemaah yang terdedah dengan simptom wabak atau berpotensi menjadi pembawa Covid-19 untuk tidak ke masjid.