Penampilannya sering menjadi ‘bahan’ kepada warganet untuk meninggalkan komen di akaun Instagram miliknya.

Malah, ada yang beranggapan foto yang dimuat naik penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan keterlaluan kerana kelihatan seksi atau menggoda.

Menolak segala tanggapan netizen, Elizabeth Tan turut menegaskan imej yang dipaparkan bukan juga untuk ‘mengumpan’ lelaki.

Elizabeth yang selesa dipanggil dengan nama Lizzie berkata, selagi ibunya tidak menegur cara berpakaian dalam foto yang dikongsi di IG, dia tidak anggap ia keterlaluan.

“Jika pakaian saya terlalu seksi dan mengundang kontroversi, saya yakin ibu menjadi orang pertama menegur dan meminta saya menukarnya.”

“Lagipun apa salahnya berpakaian begitu mengikut cita rasa saya kerana saya masih muda.”

“Saya bukan berpakaian seperti bintang k-pop yang mengenakan baju singkat. Saya tidak akan memuat naik foto jika saya berpakaian sebegitu.”

“Saya hanya muat naik foto yang disukai ramai. Lagipun, tak salah untuk berkongsi asalkan tidak mengundang perkara buruk,” katanya.

Tidak dinafikan setiap kali Lizzie memuat naik foto berimej seksi, wanita berusia 27 tahun itu sering menerima komen ‘tidak senonoh’ daripada pengikut lelaki di laman sosial.

Menafikan dirinya sebagai ‘simbol seks’, Lizzie berkata, banyak akaun lain boleh dijadikan rujukan, bukan IG akaun miliknya.

Tambah Lizzie, dia juga tidak pernah menerima sebarang foto tidak senonoh daripada pengikut seperi sesetengah selebriti yang lain.

Mengakui membaca setiap komen di akaun miliknya, Lizzie tiada masalah untuk mohon maaf sekiranya fotonya tidak sesuai.