Kejayaan Sophia Liana menjuarai program Dansa Dan Sing baru-baru ini membuka laluan berbeza buatnya melakar nama dalam industri hiburan tanah air. Cukup dibayangi nama DeFAM sebelum ini, kini dia mengorak langkah sebagai artis solo.

Sophia atau nama sebenarnya Sophia Liana Mohamed Sobri, 30 bukan figura yang tidak mudah diingati. Hakikatnya, dia membuktikan rap wanita tempatan juga berkaliber dan wajar disanjungi.

Cuma, dia lebih sibuk sekarang mempersiapkan diri mencari strategi yang terbaik baginya meletakkan namanya lebih kukuh dalam industri. Menurutnya, dia ada misi tersendiri untuk berbakti dalam bidang seni dan bukan sekadar singgah menempel saja.

“Bagi saya, amat penting untuk kita belajar mengenali diri sendiri dalam industri. Selain itu, saya juga berusaha cuba untuk cari kelainan supaya industri muzik kita jadi lebih warna-warni”.

Disebabkan itu, dia meletakkan 100 peratus usaha menerusi lagu solo pertamanya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Tentu sekali kegembiraan itu berganda untuk melancarkannya sebaik menang program terbabit.

Sophia menyifatkan perjalanan kariernya semakin kemuncak kini dan setimpal dengan usaha dicurahkan selama ini. Dalam pada teruja, dia bagaimanapun berharap kualiti karyanya mampu menyentuh hati ramai orang.

Tidak dinafikan, Sophia antara penyanyi rap yang semakin menggegar industri berikutan kualiti persembahan serta keunikan tersendiri pada nyanyiannya. Identitinya juga kukuh lantas meletakkan diri di liga lain berbanding penyanyi rap biasa.

Sophia berkata, dia takkan pernah berhenti untuk memperbaiki diri dari masa ke semasa. Baginya, usaha itu kena berterusan apatah lagi dia sendiri mengidam untuk meninggalkan legasi yang dihormati dalam industri.