Lima lagi kes yang telah dikesan positif dijangkiti virus Covid-19 semalam dan kesemua mereka dikenal pasti kontak rapat kepada individu dijangkiti ke-26.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini, kontak rapat bagi kes ke-26 yang disahkan positif Covid-19 adalah seramai 26 orang.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga 12 tengah hari semalam adalah sebanyak 55 kes”.

“Daripada jumlah ini, seramai 22 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang. Semua kes baharu ini berhubung kait dengan satu kluster Covid-19 yang dikenal pasti sebelum ini iaitu individu daripada kes kes-26.”

Kelmarin beliau mengatakan Malaysia sedang memasuki gelombang kedua Covid-19 dan ia bermula dengan kes ke-26 yang kebanyakan kes jangkitan tempatan dan dalam kalangan rakyat tempatan.

Beliau kelmarin mengesahkan 14 lagi kes baharu Covid-19 menjadi keseluruhan kes sebanyak 50 kes setakat Rabu ini.

Menurutnya, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (Covid-19) 2020 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara diadakan bersama pelbagai agensi berkaitan di Putrajaya semalam.

Kerajaan memutuskan untuk sekat sementara kemasukan semua pelawat tanpa mengira warganegara yang berkunjung ke tiga negara ‘panas’ berkuat kuasa serta-merta.