“Kalau orang barat bertopi, mengapa kita tidak bertanjak?. Lagipun bahasa dan pakaian antara medium menunjukkan tingginya peradaban suatu bangsa,” kata Khair Razla Othman.

Khair Razlan, 39 memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi tujuannya menggayakan tanjak ketika menghadiri majlis konvokesyen Universiti Oxford, London, Sabtu lalu.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Khair Razlan berkongsi gambar dan videonya menggayakan aksesori tradisional itu ketika memasuk dewan konvokesyen di Facebook (FB).

Menerusi video itu, Khair Razlan dilihat berjalan memasuki dewan bersama graduan lain sementara menunggu giliran untuk naik ke atas pentas bagi mengambil skrol.

Bapa kepada empat orang anak itu dilihat mengesat air mata ketika sambil berjalan dan sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 8,000 tontonan.

Katanya, sebelum tampil berbuat demikian, dia sudah meminta kebenaran daripada penganjur yang tiada halangan untuk memenuhi permintaannya.

Khair Razlan berkata, bukan saja dirinya, malah bapa, Othman Ahmad dan anak lelakinya turu hadir ke majlis konvokesyen berkenaan dengan dengan memakai tanjak.

Katanya, kehadiran mereka turut mencuri tumpuan masyarakat di sana mungkin kerana tidak pernah melihat individu memakai tanjak sebelum ini.

Khair berkata, dia tidak terfikir gambar dan video dimuat naiknya itu akan tular kerana hanya mahu berkongsi detik hari bersejarah dengan rakan di Facebook.