Sejak namanya terkenal sekitar lebih 10 tahun lalu, industri hiburan tidak pernah sepi disajikan dengan cerita mengenainya, baik buruk pahit manis.

Menginjak usia 26 tahun ini, Justin Bieber kini menunjukkan perubahan mendadak baik daripada segi kematangan, keperibadian serta kerjayanya. Paling ketara, selepas dia mengahwini wanita idamannya, Hailey Baldwin dua tahun lalu.

Melihat hubungan mereka yang semakin bahagia membuatkan peminat sendiri seronok dengan kebahagiaan dikecapi. Justin benar-benar menemui cinta sejati yang tanpa disedari mengubah corak hidupnya.

Menyambut ulang tahun kelahirannya semalam juga, penyanyi Yummy itu memutuskan untuk menyambutnya bersama isteri tercinta sahaja. Dia cuma mahu meluangkan masa bersama cinta hatinya itu bersama pada hari penuh bermakna itu.

Mana tidaknya, penyanyi terbabit tidak menduga kehadiran isteri dalam hidup membuatkan hatinya meneruskan komitmen lebih jauh. Berkongsi saat melamar Hailey, Justin berkata dia gagal menahan rasa gementar berbuat demikian.