“Kami (SEARCH) tiada pengurus dan saya ambil tanggungjawab ini untuk projek persembahan. Tak ada wang tambahan pun yang saya dapat dan tetap bahagi lima”, kata pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud berkenaan tanggungjawab kini.

Nasir bersama Din (gitar), Kid (gitar) dan Pae (pemain dram undangan) kini menggunakan khidmat Datuk Awie untuk menjayakan Konsert Apologia Search & Awie yang akan berlangsung di The Bee, Publika di sini, pada 28 Mac depan.

Keputusan kerjasama itu diambil kerana vokalis Search, Amy memberi alasan sibuk dan tidak dapat memberi komitmen untuk konsert tersebut.

Nasir berkata, kebiasaannya dia mengambil langkah berjumpa penganjur yang berminat untuk berbincang bagi memastikan anggota kumpulan Search terus mendapat rezeki.

“Sebahagian besar, mereka akan menghubungi saya kerana tahu perkara ini. Ada kala kalau mereka hubungi Amy atau pengurusnya, atau pengurusannya, saya akan dimaklumkan juga”.

“Setiap urusan akan melalui Amy. Sayap pula umpama ‘koperal balai’ saja kerana Amy adalah Jeneral. Jadi, saya pasti jumpa Amy dan kemas kini setiap perkara. Dia pula akan tanya apa yang sesuai dan beri persetujuan. Apapun, Amy seorang yang mudah dibawa berunding”, katanya.

Nasir akur dengan jadual padat Amy, membuatkannya terpaksa mencari alternatif lain bagi memastikan Search terus hidup.

“Selama ini, kami dah rehat selama dua tahun. Bayangkan dalam tempoh itu, tiada sebarang undangan persembahan untuk Search dan bagaimana kami hidup”.

“Apapun, kami juga sebenarnya ada dapat tawaran yang bagus untuk konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam”.

“Malangnya, tiga hari sebelum tandatangan kontrak, pengurusan Amy memberitahu dia tidak dapat bagi komitmen kerana penat dan kena fokus pada perniagaan”, katanya yang terkejut dengan alasan yang diberikan.

Mujur salah seorang kumpulan ‘penganjur’ iaitu Amir Shah Daud, bersimpati dengan nasib Search dan menerusi syarikat ImagineX, mengambil langkah untuk menganjurkan konsert di The Bee.

“Namun persoalannya, siapa penyanyi yang akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh Amy itu?. Menerusi perbincangan dengan Din, maka terkeluarlah nama Awie”.

Menurutnya, dia terus memaklumkan rancangan tersebut kepada Amy namun tidak mendapat sebarang respon.

Nasir bagaimanapun meminta mana-mana pihak supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tahu ini akan mengundang pelbagai persoalan. Tapi kami bukan nak bergaduh dengan sesiapa kerana niat kami hanya untuk ‘rock n roll'”, katanya.

Awie pula berkata, dia tidak mahu masuk campur dalam urusan Search dan melihat perkara ini dari sudut positif.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Apologia Search & Awie kini sudah dijual. Bagi mereka yang berminat boleh layari www.ilassotickets.com