Masih teruja dengan kehadiran anak perempuan pertama iaitu Nur Azura Yamani yang kini berusia empat tahun membuatkan penyanyi Datuk Jamal Abdillah memilih untuk meluangkan masanya bersama anak perempuannya itu.

Jamal, 61, berkata dia kini lebih suka menjaga dan bermain-main dengan anaknya di rumah berbanding keluar berjalan seperti sebelum ini.

“Dulu bila kat ruma terasa nak bawak isteri keluar berjalan, tetapi sekarang bila dah ada baby ni memang duduk dekat rumah je” katanya.

Jamal ditemui ketika sidang media konsert amal bersama Dayang Nurfaizah di Istana Budaya pada hari Selasa.

Penyanyi asal lagu Kekasih Awal dan Akhir ini berkahwin dengan Datin Zai Izzati Khiruddin pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Sebelum ini, Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali, namun ketiga-tiganya berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinannya yang dahulu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki Osama Yamani, 18 dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Jamal berkata, dia akan pastikan persekolahan anaknya berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Jamal bakal bergandingan bersama Dayang Nurfaizah dalam konsert amal Alunan Irama yang diadakan di Istana Budaya pada 11 April depan.

Konsert itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar yang kurang bernasib baik di sekolah-sekolah kawasan Parlimen Tun Abdul Razak.

Orang ramai boleh membeli tiket konsert itu secara dalam talian bermula 10 Mac depan.