Seekor anjing pengesan polis yang diberi nama Lao Wu adalah merupakan anjing pertama yang menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’. Pingat itu disampaikan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hasan yang diwakili timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, Pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurut sumber, pingat ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada Lao Wu yang berjaya mengesan seorang suspek yang melarikan diri.

Menurut pelatihnya, Sarjan S. Sanmugam, Lao Wu berjaya mengesan suspek tersebut sejauh 4km, di ladang kelapa sawit Felda Tekam, Jerantut November lalu.

Dalam kejadian tersebut, suspek meninggalkan baju yang berlumuran darahnya, ketika melarikan diri dan dengan deria hiduan yang sememangnya hebat sebagai seekor anjing, haiwan itu mengekori jejak bauan sehingga suspek dapat diberkas semula.

Sarjan Sanmugam memberitahu bahawa Lao Wu seekor anjing yang bijak menerima arahan dan patuh dengan tepat.

Lao Wu didapati dari negara China dan antara 4 anjing yang diterimanya sepanjang perkhidmatan beliau selama 29 tahun. Dalam menjadi pelatih anjing pengesan polis, seorang pegawai itu perlu menghadapi latihan selama 18 minggu dan satu peperiksaan bagi melihat keserasian bersama haiwan tersebut sebelum ditugaskan bersama di lapangan.