Penyanyi, pelakon dan pengarah, Yusry Abd Halim tidak mempunyai sebarang perancangan khusus untuk menambah lagi bilangan cahaya mata untuk masa akan datang.

Yusry, 47 berkata buat sementara waktu dia bersyukur dikurniakan cahaya mata yang menjadi penyeri dan pelengkap dalam hidupnya.

“Dah dapat sepasang ni pun dah bersyukur dah. Buat masa sekarang ni tiada perancangan untuk menambah cahaya mata lagi. Saya tidak beria untuk mencuba menambah anak.”

“Kalau ada, adalah. Nak cakap dah tak nak pun tak boleh sebab ianya rezeki”, katanya ketika ditemui pada majlis sidang media I CAN SEE YOUR VOICE (ICSYVMY3) musim ketiga di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya lagi, antara faktor lain dia tidak mahu menambah anak lagi atas sebab faktor usianya yang semakin meningkat.

Ditanya pembabitannya dalam ICSYVMY3, Yusry yang bertindak sebagai panel tetap dalam rancangan tersebut di samping Jihan Muse dan Mark Adam berkata, pada mulanya dia agak kekok apabila dia tidak memahami konsep permainan.

Menurut Yusry lagi, untuk musim ini banyak elemen baharu diperkenalkan dan ada kalanya memberi kesukaran kepadanya.